Muzakarah bersama penduduk Daerah Temburong





Oleh : Aimi Sani / Foto : Alishahrin Haji Mumin






TEMBURONG, Sabtu, 13 September. - Satu Sesi Muzakarah Jabatan Daerah Temburong telah diadakan bersama penduduk Daerah Temburong bertujuan untuk mengongsikan maklumat terkini dan mendapatkan maklum balas mengenai isu tenaga elektrik dan perkhidmatan air di daerah ini.


Muzakarah yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar itu dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau.


Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.


Dalam Sesi Muzakarah tersebut, para pegawai telah membentangkan perkembangan tenaga elektrik dan perkembangan perkhidmatan air di Daerah Temburong, termasuk perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan.


Penduduk yang hadir turut diberikan peluang untuk mengemukakan soalan, cadangan, serta aduan berkaitan perkhidmatan asas tersebut. Antara isu yang dibangkitkan termasuk gangguan bekalan tenaga elektrik, voltan elektrik yang tidak stabil serta keperluan penyelenggaraan berjadual yang lebih berkesan.


Majlis seumpama ini merupakan platform penting untuk memperkukuhkan komunikasi dua hala antara pihak kerajaan dan penduduk Daerah Temburong khususnya, sekali gus membantu dalam penambahbaikan berterusan perkhidmatan awam demi kesejahteraan masyarakat.


Hadir sama ialah penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dan penduduk Daerah Temburong.


Close